Dia merenung dalam
bait tinta yang ditangkap lensa miliknya. Sepasang mata yang bening itu
bergerak-gerak kiri ke kanan. Dia cuba untuk memahami kata-kata itu.
“Cinta bukan tujuan, tapi hanyalah jalan. Cinta itu bukan matlamat, tapi
hanyalah alat…” – Ustaz A.Ubadillah Alias
Dahinya dikerutkan.
Keningnya dirapatkan. Tanda dirinya sedang memikirkan sesuatu yang mengusik
perasaan.
“Cinta bukan tujuan.
Tapi jalan. Cinta bukan matlamat. Tapi alat..” Bait tinta itu bergema dalam
sanubarinya.
“Apa ertinya?” Dia
bermonolog.
Lama dia merenung.
Sesekali, dia menghantar pandangan ke luar jendela. Dia menatap ke arah langit.
Cerah. Subhanallah, indah ciptaan-Mu – Burung-burung berkicauan, tanda
bertasbih kepada-Nya. Sang unggas bernyanyi riang, tanda memuji kepada-Nya.
Segala yang ada di langit mahupun di bumi sujud pada keEsaan-Nya. Dalam asyik
dia merenung keindahan ciptaan Tuhan, ada sesuatu yang mengusik kalbunya.
Cinta. Ya. Dia tahu dia masih muda remaja. Dia tahu masih banyak tanggungjawab
yang harus digalasnya. Dia tahu masih banyak impian yang belum diraihnya. Dia
tahu, umi dan abinya mengharapkan sesuatu daripadanya. Dia tahu perjalanan
hidupnya baru bermula. Dia tahu dia tidak seharusnya leka dalam cinta dunia.
Dia tahu dan dia mengerti segala-galanya. Namun, entah mengapa setiap kali dia
cuba mengusir satu rasa yang bertamu di dada, tiap kali juga dia kalah melawan
perasaannya.
Ya Allah, begitu kuat
rasa itu hadir ke dalam kalbunya.
Apa yang perlu dia
lakukan? Langkah apa yang perlu dia aturkan? Strategi apa yang perlu dia
rencanakan?
Segala-galanya
kelihatan suram. Segala-galanya kelihatan tidak berjalan. Hatinya kembali
rawan. Mengapa dirinya tidak mampu melawan? Mengapa perasaannya seringkali
kecundang? Mengapa hatinya seringkali bermusuhan dengan apa yang dia fikirkan?
Hati dan akalnya tidak sehaluan.
Dia tidak mahu lemas dalam dakapan cinta yang melekakan. Dia hanya mahu lemas
dalam dakapan cinta Tuhan. Tapi, makin kuat dia mencuba, makin kuat pula dia
diduga.
Dia tahu, dia harus kuat menghadapinya. Dia tahu, dia harus melawan rasa cinta
yang bertamu dalam hatinya. Dia tahu, dia harus mengusir rasa cinta pada
manusia. Mengusir cinta bukan bererti membenci. Tetapi lebih kepada menjaga
jarak antara dirinya dan dia. Hatinya cuma ada satu. Dia tahu, sakit rasanya
apabila terluka. Pedih rasanya apabila kecewa. Pasti, dia akan berduka. Lalu,
amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya akan terbang dan hilang entah ke
mana.
Dia harus memilih. Ya.
Memilih sama ada dia mahu terus berfantasi atau menjejak realiti? Mahu terus
berada dalam mimpi atau mahu menjejak bumi? Dia sedar. Cinta manusia itu adalah
sesuatu yang tidak pasti. Cinta yang hakiki adalah berpaksikan pada DIA Sang Ilahi.
Dia juga sedar,
kehidupan kini penuh dengan ujian Ilahi. Jika iman tidak terus diasah, maka dia
akan tersungkur rebah. Jika akidah tidak terus dipelihara, maka dia akan terus
bergelumang dengan dosa. Jika ilmu-Nya tidak terus diteroka, maka dia akan terus
terleka dalam arus dunia. Dia juga sedar. Perjalanannya masih jauh. Banyak lagi
yang harus ditempuh. Jika ujian sebegini dia tidak mampu menempuh, apatah lagi
ujian lain yang mewajibkan imannya untuk terus teguh.
Dia nekad. Segala rasa
cinta yang hadir sebelum waktunya perlu segera diusir. Bimbang pula hatinya
akan terus terusik. Kini dia memegang pada satu prinsip!
“Cinta itu fitrah. Ilmu itu amanah. Iman itu perlu
diasah. Maksiat itu perlu dicegah!”
Ashadu Anla Ilahailallah Wa Ash Hadu Anna Muhammad Rasulullah.
Hanya padaMu Tuhan, aku berserah…


Tiada ulasan:
Catat Ulasan